Monday, December 19, 2011

Rezeki Penjawat Awam...

Salam Satu Malaysia dan Salam Disember...
Hari ini sekali lagi Penjawat Awam menerima rezeki yakni Bonus Tahunan melalui Belanjawan Mesra Rakyat 2012. Walaupun tidak sehebat pemberian bonus oleh sektor swasta, ianya adalah suatu pemberian menggunakan perbelanjaan rakyat. Pelbagai reaksi positif mahupun negatif yang berkumandang di seluruh pelosok negara. Masing - masing punya pandangan dan pendapat tersendiri terhadap pemberian imbuhan tersebut kepada penjawat awam.
Sesuatu yang menarik perhatian saya adalah ketika saya bercerita dengan seorang kawan yang bertugas di jabatan yang berbeza mengenai pemberian bonus dan juga insentif ini. Dia berpendapat bahawa pemberian imbuhan secara berpusat ini bukanlah suatu yang tepat kerana tidak semua penjawat awam telah menjalankan tugas mereka dengan baik sepanjang tahun penilaian. Justeru dia berpendapat adalah lebih baik sekiranya sistem pemberian imbuhan berpusat ini digantikan dengan sistem pencapaian. Dengan kata lain, pemberian imbuhan atau bonus kepada penjawat awam adalah berdasarkan pretasi kerja atau pun pencapaian mereka. Perbualan kosong di antara kami banyak menyentuh akan positif dan negatif perkara ini di peringkat akar umbi. Almaklumlah kami sesama pegawai rendah kerajaan yang terlibat secara terus di dalam hal ini. Walau bagaimanapun kami sedar bahawa segala yang kami bualkan hanyalah setakat omong kosong yang ditelan oleh kerenah birokrasi. Kerenah Birokrasi terpimpin dan terancang yang diamalkan di negara kita pada waktu ini dan tidak tergambar setakat ini bila akan berakhir.
Menariknya perbincangan seperti itu bagi diri saya ianya dapat membentuk kita sebagai individu ke arah yang lebih positif dengan mendengar kritikan dan pandangan pihak lain secara terus mengenai sesuatu perkara itu. Seperti yang dicanangkan oleh kerajaan kita, INTEGRITI adalah kunci segalanya. Integriti secara mudahnya bagi saya adalah kepercayaan di dalam diri kita. Sebagaimana kita percaya akan Tuhan dan Hantu di dalam hidup kita, begitu juga kita kena percaya dengan jawatan yang kita sandang dan seterusnya jabatan di mana kita berada. Dengan kepercayaan ini kita akan akur akan tatacara bekerja yang digariskan untuk kita gunapakai di dalam perlaksanaan tugas seharian kita. Seandainya kita sebagai setiap individu di dalam sesuatu organisasi itu telah menjalankan tanggungjawab kita dengan sepenuhnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak atasan, justeru peraliran kerja itu akan berjalan dengan lancar dengan sendirinya. Dengan itu kita akan dapat mempertingkatkan kualiti kerja kita sendiri dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian organisasi tersebut. Apabila sektor awam, iaitu suatu sektor yang diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan sosial kepada masyarakat telah menunjukkan pencapaian pretasi yang baik, pemberian insentif, imbuhan mahupun gaji kepada penjawat awam akan dilihat suatu yang setimpal.

Sesungguhnya kita berhak menentukan nilai diri kita sendiri...tetapi mereka yang lain akan menilai kita...

No comments:

Post a Comment