Saturday, December 24, 2011

Krismas 2011...

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia semuanya...
Krismas 2011 datang jua akhirnya, menandakan tahun ini kian berada di penghujungnya.
Saya mengambil keputusan untuk tidak bercuti dan balik kampung pada tahun ini. Bermakna saya tidak akan bersama keluarga saya untuk meraikan Krismas pada kali ini. Bukan kerana saya melarikan daripada mereka ataupun mengelak untuk merayakan Hari Krismas sebagai kewajipan seorang penganut agama Kristian seperti saya. Saya tetap membuat persiapan Hari Krismas secara ala kadar. Pokok Krismas kecil menghiasi sudut rumah, Loceng Krismas berwarna Kuning Emas tergantung di depan pintu, dan pasti saya akan mengadakan Sembahyang Malam Krismas dan Makan Malam Krismas.
Krismas 2011 ini amat mendatangkan kesan kepada saya. Semalam saya telah menghadiri pengembumian seorang rakan sejawat yang telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan. Meninggalkan keluarga dalam usia yang begitu muda, iaitu 28 tahun amatlah meninggalkan 1001 kesan kepada keluarganya. Sesungguhnya saya mengaku dan percaya bahawa semua itu takdir Tuhan. Itulah jua apa yang diluahkan oleh emaknya setelah upacara pengembumian selamat diadakan. Bukan isu meninggal dunia yang menyebabkan saya rasa tersentuh tetapi isu kemanusiaan yang saya lihat sepanjang saya berada di upacara itu.
Saya sebenarnya terlibat secara terus di dalam pengurusan jenazah arwah yang diterbangkan dari KLIA ke LTAK pada 21.12.2011 yang lalu. Sewaktu menunggu ketibaan jenazah daripada KLIA sempat juga saya berbual - bual dengan abang arwah dan juga saudara terdekat yang lain. Tidak banyak yang dapat dibualkan ketika itu kerana kami masing - masing sibuk untuk proses dokumentasi yang sebagainya. Saya sempat mengikuti upacara sembahyang jenazah di rumah keluarga mendiang sebelum kembali ke tempat bekerja bersama pegawai kanan dan rakan sejawat yang lain. Ketika inilah dapat saya lihat persiapan perayaan Hari Krismas yang telah dibuat oleh keluarga mendiang. Hati mana yang tidak sebak seandainya mayat orang yang kita sayang terbujur kaku di tengah ruang tamu sedangkan pokok krismas megah berdiri bersama hiasan di sudut lain. Kepulangan menjelang Hari Krismas yang dinantikan telah bertukar suasana pilu.
Menghadiri upacara pada 23.12.2011 banyak memberi masa dan ruang untuk saya mendengar rintihan keluarga mendiang lebih-kebih si Emak yang kehilangan anak lelakinya. Sesungguhnya benar kata orang, di dalam hidup ini hanya tiga kali kita dapat mendengar penghargaan dan pendapat ikhlas seseorang kepada kita. pertama adalah ketika kita dilahiirkan. Semua orang akan memperkatakan akan kelahiran itu. Kemudian ketika kita melangsungkan perkahwinan, di mana semua orang akan menghadiri majlis itu dan bercerita mengenainya. Dan yang terakhir adalah ketika kita meninggalkan hidup di dunia ini. Banyak kebaikan mendiang ketika hidupnya yang dapat saya dengar samaada dari mulut keluarga, kawan - kawan dan juga rakan sekerjanya. Mujurlah kata saya jauh di sudut hati kerana mendiang telah banyak melakukan kebaikan ketika hidupnya. Di sinilah saya sempat melihat setianya seorang kekasih, jujurnya seorang insan. Seorang gadis muda yang diperkenalkan sebagai kekasih mendiang oleh si Emak amat menarik perhatian saya. Dia bukan tunang, bukan juga isteri kepada mendiang yang punya ikatan sah secara perundangan. Dia bukan sahaja meratapi pemergian si kekasih, malah terlalu banyak yang dia kongsikan dengan si Emak yang dia jua panggil "Emak". Jelas di raut wajah sedih si Emak dia amat terharu akan kehadiran seorang gadis sebegini di dalam hidup anaknya. Terdetik di dalam hati saya, inikah Cinta sebenar yang semua kita cari-cari di dalam setiap pasangan kita?
Pemergiaan mendiang juga kian menyentuh perasaan apabila sepupunya yang paling dekat telah melahirkan anak lelaki sulung pada tarikh sama dia meninggal dunia. Inilah yang dikatakan takdir Tuhan yang Maha Esa kata mereka dengan menghantar nyawa sebagai galang ganti satu nyawa yang telah diambil. Diberi penghormatan untuk menyalakan lilin dan melihat mendiang dipakaikan pakaian seragam lengkap beserta bendera jabatan meninggalkan suatu perasaan yang amat bermakna di dalam hati saya. Apatah lagi kehadiran saya yang lengkap berpakaian seragam yang sama telah menarik perhatian semua terutamanya si Emak.
Petang ini saya akan menghantar adik saya balik ke kampung yangh terletak lebih 1000km daripada tempat saya bertugas. Ini bermakna adik saya juga tidak akan bersama Emak dan Ayah saya untuk sembahyang Malam Krismas seperti juga kakak saya yang tidak bercuti balik kampung sempena Hari Krismas ini. Kami sekeluarga terpisah dalam jarak yang jauh walau bagaimanapun kemajuan teknologi komunikasi telah membenarkan kami berhubung sepanjang masa.
Malam Krismas 2011 saya membuat persiapan sendirian di kuartes tempat bertugas. Meskipun saya tidak meraikan bersama keluarga, saya masih berasa beruntung kerana saya masih punya keluarga. Saya sedar di kuar sana ada mereka yang tidak meraikannya bersama keluarga kerana mereka tidak punya keluarga. Ada mereka di luar sana yang kehilangan ahli keluarga semasa perayaan Krismas menjelang tiba. Ini bermakna lagi diuji berbanding saya dan saya lebih beruntung daripada mereka. Justeru saya memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana saya masih punya peluang untuk merayakan Hari Krismas 2011 ini dan masih punya keluarga meskipun terpisah.

SELAMAT HARI KRISMAS 2011...

No comments:

Post a Comment