Friday, December 30, 2011

Sajak Untuk Awak...

SAJAK UNTUK AWAK…

Kala pena bermain di hujung jariku
Ku lakarkan rentetan kisah nyata
Kisah semalam antara kita berdua
Suatu kisah tidak dirancang untuk bermula
Suatu masa yang kita lalui bersama
Suatu akhiran yang tidak dapat kita singkirkan hadirnya
Ini sajak untuk awak
Ku lakarkan dari nurani seorang insan
Ku susun dari pengertian seorang teman
Ku luahkan dari jiwa seorang pencinta
Ku dendangkan dengan puitis sang pemuisi
Andai ku tahu semalam bakal jadi sejarah
Akan ku pahatkan nama awak di putaran waktu
Agar tidak hilang bersama roda masa yang berputar
Andai ku tahu hari ini kita lalui bersama
Akan ku rakamkan kisah kita
Agar jadi lagenda untuk diingati akan kisah kita
Andai ku tahu esok bukan milik kita
Akan aku hentikan roda masa
Agar kita kekal bersama
Ini sajak untuk awak
Sajak tentang kisah kita
Laluan perjalanan hidup sesama insan
Kisah tulus hati seorang teman
Cerita ulungnya cinta sepasang kekasih
Walaupun sekadar kenangan
Kenangan itu milik kita

chitzal 2011-serian

Saturday, December 24, 2011

Krismas 2011...

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia semuanya...
Krismas 2011 datang jua akhirnya, menandakan tahun ini kian berada di penghujungnya.
Saya mengambil keputusan untuk tidak bercuti dan balik kampung pada tahun ini. Bermakna saya tidak akan bersama keluarga saya untuk meraikan Krismas pada kali ini. Bukan kerana saya melarikan daripada mereka ataupun mengelak untuk merayakan Hari Krismas sebagai kewajipan seorang penganut agama Kristian seperti saya. Saya tetap membuat persiapan Hari Krismas secara ala kadar. Pokok Krismas kecil menghiasi sudut rumah, Loceng Krismas berwarna Kuning Emas tergantung di depan pintu, dan pasti saya akan mengadakan Sembahyang Malam Krismas dan Makan Malam Krismas.
Krismas 2011 ini amat mendatangkan kesan kepada saya. Semalam saya telah menghadiri pengembumian seorang rakan sejawat yang telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan. Meninggalkan keluarga dalam usia yang begitu muda, iaitu 28 tahun amatlah meninggalkan 1001 kesan kepada keluarganya. Sesungguhnya saya mengaku dan percaya bahawa semua itu takdir Tuhan. Itulah jua apa yang diluahkan oleh emaknya setelah upacara pengembumian selamat diadakan. Bukan isu meninggal dunia yang menyebabkan saya rasa tersentuh tetapi isu kemanusiaan yang saya lihat sepanjang saya berada di upacara itu.
Saya sebenarnya terlibat secara terus di dalam pengurusan jenazah arwah yang diterbangkan dari KLIA ke LTAK pada 21.12.2011 yang lalu. Sewaktu menunggu ketibaan jenazah daripada KLIA sempat juga saya berbual - bual dengan abang arwah dan juga saudara terdekat yang lain. Tidak banyak yang dapat dibualkan ketika itu kerana kami masing - masing sibuk untuk proses dokumentasi yang sebagainya. Saya sempat mengikuti upacara sembahyang jenazah di rumah keluarga mendiang sebelum kembali ke tempat bekerja bersama pegawai kanan dan rakan sejawat yang lain. Ketika inilah dapat saya lihat persiapan perayaan Hari Krismas yang telah dibuat oleh keluarga mendiang. Hati mana yang tidak sebak seandainya mayat orang yang kita sayang terbujur kaku di tengah ruang tamu sedangkan pokok krismas megah berdiri bersama hiasan di sudut lain. Kepulangan menjelang Hari Krismas yang dinantikan telah bertukar suasana pilu.
Menghadiri upacara pada 23.12.2011 banyak memberi masa dan ruang untuk saya mendengar rintihan keluarga mendiang lebih-kebih si Emak yang kehilangan anak lelakinya. Sesungguhnya benar kata orang, di dalam hidup ini hanya tiga kali kita dapat mendengar penghargaan dan pendapat ikhlas seseorang kepada kita. pertama adalah ketika kita dilahiirkan. Semua orang akan memperkatakan akan kelahiran itu. Kemudian ketika kita melangsungkan perkahwinan, di mana semua orang akan menghadiri majlis itu dan bercerita mengenainya. Dan yang terakhir adalah ketika kita meninggalkan hidup di dunia ini. Banyak kebaikan mendiang ketika hidupnya yang dapat saya dengar samaada dari mulut keluarga, kawan - kawan dan juga rakan sekerjanya. Mujurlah kata saya jauh di sudut hati kerana mendiang telah banyak melakukan kebaikan ketika hidupnya. Di sinilah saya sempat melihat setianya seorang kekasih, jujurnya seorang insan. Seorang gadis muda yang diperkenalkan sebagai kekasih mendiang oleh si Emak amat menarik perhatian saya. Dia bukan tunang, bukan juga isteri kepada mendiang yang punya ikatan sah secara perundangan. Dia bukan sahaja meratapi pemergian si kekasih, malah terlalu banyak yang dia kongsikan dengan si Emak yang dia jua panggil "Emak". Jelas di raut wajah sedih si Emak dia amat terharu akan kehadiran seorang gadis sebegini di dalam hidup anaknya. Terdetik di dalam hati saya, inikah Cinta sebenar yang semua kita cari-cari di dalam setiap pasangan kita?
Pemergiaan mendiang juga kian menyentuh perasaan apabila sepupunya yang paling dekat telah melahirkan anak lelaki sulung pada tarikh sama dia meninggal dunia. Inilah yang dikatakan takdir Tuhan yang Maha Esa kata mereka dengan menghantar nyawa sebagai galang ganti satu nyawa yang telah diambil. Diberi penghormatan untuk menyalakan lilin dan melihat mendiang dipakaikan pakaian seragam lengkap beserta bendera jabatan meninggalkan suatu perasaan yang amat bermakna di dalam hati saya. Apatah lagi kehadiran saya yang lengkap berpakaian seragam yang sama telah menarik perhatian semua terutamanya si Emak.
Petang ini saya akan menghantar adik saya balik ke kampung yangh terletak lebih 1000km daripada tempat saya bertugas. Ini bermakna adik saya juga tidak akan bersama Emak dan Ayah saya untuk sembahyang Malam Krismas seperti juga kakak saya yang tidak bercuti balik kampung sempena Hari Krismas ini. Kami sekeluarga terpisah dalam jarak yang jauh walau bagaimanapun kemajuan teknologi komunikasi telah membenarkan kami berhubung sepanjang masa.
Malam Krismas 2011 saya membuat persiapan sendirian di kuartes tempat bertugas. Meskipun saya tidak meraikan bersama keluarga, saya masih berasa beruntung kerana saya masih punya keluarga. Saya sedar di kuar sana ada mereka yang tidak meraikannya bersama keluarga kerana mereka tidak punya keluarga. Ada mereka di luar sana yang kehilangan ahli keluarga semasa perayaan Krismas menjelang tiba. Ini bermakna lagi diuji berbanding saya dan saya lebih beruntung daripada mereka. Justeru saya memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana saya masih punya peluang untuk merayakan Hari Krismas 2011 ini dan masih punya keluarga meskipun terpisah.

SELAMAT HARI KRISMAS 2011...

Monday, December 19, 2011

Rezeki Penjawat Awam...

Salam Satu Malaysia dan Salam Disember...
Hari ini sekali lagi Penjawat Awam menerima rezeki yakni Bonus Tahunan melalui Belanjawan Mesra Rakyat 2012. Walaupun tidak sehebat pemberian bonus oleh sektor swasta, ianya adalah suatu pemberian menggunakan perbelanjaan rakyat. Pelbagai reaksi positif mahupun negatif yang berkumandang di seluruh pelosok negara. Masing - masing punya pandangan dan pendapat tersendiri terhadap pemberian imbuhan tersebut kepada penjawat awam.
Sesuatu yang menarik perhatian saya adalah ketika saya bercerita dengan seorang kawan yang bertugas di jabatan yang berbeza mengenai pemberian bonus dan juga insentif ini. Dia berpendapat bahawa pemberian imbuhan secara berpusat ini bukanlah suatu yang tepat kerana tidak semua penjawat awam telah menjalankan tugas mereka dengan baik sepanjang tahun penilaian. Justeru dia berpendapat adalah lebih baik sekiranya sistem pemberian imbuhan berpusat ini digantikan dengan sistem pencapaian. Dengan kata lain, pemberian imbuhan atau bonus kepada penjawat awam adalah berdasarkan pretasi kerja atau pun pencapaian mereka. Perbualan kosong di antara kami banyak menyentuh akan positif dan negatif perkara ini di peringkat akar umbi. Almaklumlah kami sesama pegawai rendah kerajaan yang terlibat secara terus di dalam hal ini. Walau bagaimanapun kami sedar bahawa segala yang kami bualkan hanyalah setakat omong kosong yang ditelan oleh kerenah birokrasi. Kerenah Birokrasi terpimpin dan terancang yang diamalkan di negara kita pada waktu ini dan tidak tergambar setakat ini bila akan berakhir.
Menariknya perbincangan seperti itu bagi diri saya ianya dapat membentuk kita sebagai individu ke arah yang lebih positif dengan mendengar kritikan dan pandangan pihak lain secara terus mengenai sesuatu perkara itu. Seperti yang dicanangkan oleh kerajaan kita, INTEGRITI adalah kunci segalanya. Integriti secara mudahnya bagi saya adalah kepercayaan di dalam diri kita. Sebagaimana kita percaya akan Tuhan dan Hantu di dalam hidup kita, begitu juga kita kena percaya dengan jawatan yang kita sandang dan seterusnya jabatan di mana kita berada. Dengan kepercayaan ini kita akan akur akan tatacara bekerja yang digariskan untuk kita gunapakai di dalam perlaksanaan tugas seharian kita. Seandainya kita sebagai setiap individu di dalam sesuatu organisasi itu telah menjalankan tanggungjawab kita dengan sepenuhnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak atasan, justeru peraliran kerja itu akan berjalan dengan lancar dengan sendirinya. Dengan itu kita akan dapat mempertingkatkan kualiti kerja kita sendiri dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian organisasi tersebut. Apabila sektor awam, iaitu suatu sektor yang diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan sosial kepada masyarakat telah menunjukkan pencapaian pretasi yang baik, pemberian insentif, imbuhan mahupun gaji kepada penjawat awam akan dilihat suatu yang setimpal.

Sesungguhnya kita berhak menentukan nilai diri kita sendiri...tetapi mereka yang lain akan menilai kita...

Saturday, July 24, 2010

2011 yang akan berakhir

Salam satu Malaysia semua...
Tahun 2011 telah berada di bulan terakhir. Ini bermakna 12 bulan telah kita lalui tanpa ada kita sedar atau sengaja tidak mahu sedar akan peredaran masa itu. Saya sendiri cuba mencari kesimpulan terbaik tentang apa yang telah saya lalui sepanjang 2011 ini. Setiap hari, minggu dan bulan yang saya lalui telah menjadi kawan, lawan,guru dan juga penilai yang terbaik dalam hidup saya. Benarlah kata pujangga, Pengalaman Adalah Guru Yang Terbaik.
Januari 2011, saya berpindah tempat bekerja untuk pertama kali pada tahun ketiga perkhidmatan saya di dalam sektor awam. Saya menanam satu iltizam bahawa saya mampu untuk menjalankan tugas dengan baik di mana jua asalkan saya menerima organisasi itu dengan positif. Itu bermakna telah dua tahun saya meninggalkan sektor swasta yang penuh gemilang dan mewah. Manakan tidak, dari status seoang Eksekutif Muda dengan pendapatan yang lumayan saya memilih untuk menjadi pegawai rendah di sektor awam. Ingin bermula dari aras paling bawah, walaupun telah berada di paras selesa adalah sesuatu yang mencabar diri saya untuk merealisasikan impian saya sendiri. Isteri dan kenalan saya sempat membuat parti kejutan sempena hari jadi saya yang ke-28. Hanya dengan sebiji kek di dewan badminton selepas tamat latihan amatlah bernilai bagi saya. Syukur ada orang yang ambil berat terhadap kita.
Tahun 2011 kian mencabar apabila Tuhan menurunkan cabaran dan dugaan duniawi kepada saya tidak kira di dalam hidup berumahhtangga mahupun kerjaya. Walau bagaimanapun dengan mempercayai bahawa Tuhan hanya menduga mereka yang mampu untuk melalui segalanya, saya masih bertahan dan menerima segalanya. Kehilangan ahli keluarga terdekat dan juga rakan sekerja dalam sekelip mata mengingatkan saya bahawa hidup ini adalah milik Tuhan dan saya hanya dipinjamkan segala milikNya itu. Betapa kecilnya Saya.
Berjaya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah walaupun melalui Pendidikkan Luar Kampus adalah sesuatu yang amat bermakna. Langkah pertama untuk 1001 langkah ya ng akan datang telah berjaya Saya hayunkan. Langkah untuk Saya mencapai impian yang telah begitu lama aku tanamkan dalam diri. Syukur Tuhan kerana dengan izinMu saya kian berjajya untuk memperbaiki diri untuk kebaikan saya dan juga orang lain.
Bencana alam dan peperangan yang berlaku di seluruh dunia kian membuktikan Manusia kian rakus dan tidak puas dengan kehidupan ini. Pelbagai teori dikemukakan oleh golongan bijak pandai untuk menjawab segala persoalan. Namun pokok pangkalnya tetap satu, iaiu kita Manusia yakni mahhluk ciptaan Tuhan paling sempurna kerana punya Akal.
Tahun 2011 akan berlalu pergi. Mujurlah saya telah diberi kesempatan untuk melaluinya.

Alangkah Bahagia Mereka yang Hari Ini Milik Mereka Lebih Baik Dari Semalam...
Bertuahlah Mereka Yang Memiliki Hari Ini Untuk Merancang Hari Esok Yang Lebih Baik...
Bersyukurlah Kita Kerana Memiliki Hari Ini...Kerana ia adalah PRESENT DAY...yang dihadiahan oleh Tuhyan untuk setiap kita...

bj

Saturday, July 17, 2010

warkah dari desa...prolog


salam hujung minggu semua...
hujung minggu ini berlalu seperti biasa bagi saya sendiri.
Ya...tidak lebih dari hari yang digunakan untuk berehat sepenuhnya walaupun saya ada bercadang untuk turun ke pejabat pada awalnya.
Bagaimana dengan anda semua? Semoga anda dapat menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang lebih bermakna gitu.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setiap minggu saya akan memaparkan episod atau bab - bab dari novel yang saya tulis sendiri sepenuhnya. Untuk pengetahuan anda semua, novel ini masih dalam pembikinan dan bermaksud anda semua adalah pembaca pertama novel ini secara langsung bersama saya. Novel ini bertemakan kehidupan bermasyarakat di negara kita yang sedang bangga dengan laungan 1 MALAYSIA. Selamat membaca WARKAH DARI DESA...

PROLOG...
Natasha bukanlah satu nama besar ataupun ikon di negara ini yang mampu menarik mana - mana media massa untuk memaparkan kisah hidup dia untuk tatapan umum sama ada untuk dijadikan tauladan semata - mata atau pun untuk publisiti yang mampu menaikkan graf jualan mereka. Natasha bukanlah nama seorang bintang yang kemunculannya dinanti - nantikan oleh semua orang terutamanya peminat - peminat setia dan fanatik untuk menghiburkan hari - hari mereka. Natasha juga bukannya nama seorang pemimpin masyarakat samaada di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang boleh dijadikan tajuk perbualan oleh rakan - rakan sembang di warung - warung kopi seadanya. Natasha hanya punya satu kisah indah yang dikongsikan dengan seseorang yang dia amat percayai. Kisah hidup dia yang terpahat indah serta kukuh di dalam jiwa dan raganya sepanjang masa sehingga ke akhir hayatnya.
Suatu ketika dulu Natasha melalui kehidupan yang boleh dikategorikan sukar. Membesar di sebuah perkampungan kecil orang Iban yang terletak di pendalaman Sarawak, sudah cukup untuk menggambarkan masa depan yang bakal dia lalui. Menjalani kehidupan seorang kanak - kanak desa bukanlah sukar bagi dia dan juga mereka - mereka yang lainnya, tetapi tidak pada hakikatnya. Menjalani kehidupan harian dengan persekitaran yang terhad tidak kira dari segi kemodenan infrastuktur mahupun pemikiran penduduk setempat, menyebabkan dia tidak banyak memikirkan apa yang berlaku dan mampu mereka lakukan di luar sana seperti juga rakan - rakan seangkatannya yang lain. Norma kehidupan harian yang diwarisi sejak turun temurun mereka jalani dengan penuh cekal tanpa pernah mempersoalkannya meskipun sekali. Mereka puas dengan apa yang mereka miliki dan juga bakal lalui. Sesungguhnya mereka menjadikan pengalaman hidup itu sebagai guru yang sentiasa membimbing mereka sebaiknya.
Menjejakkan kaki ke alam persekolahan hanyalah satu rutin bagi Natasha dan juga anak - anak desa yang lain. Mereka tidak menaruhkan banyak harapan di sini. Mereka hanya datang dan akan pergi apabila mereka telah jemu berada di sini ataupun apabila kehidupan desa memanggil mereka untuk meneruskan warisan kehidupan mereka. Belajar di sekolah yang terletak di pendalaman dan serba kekurangan itu tidak banyak mampu menyemaikan benih kesedaran di dalam diri mereka agar bersiap untuk melakukan perubahan si dalam diri mereka mahupun masyarakat. Mereka tidak banyak membangkitkan persoalan yang menuntut pihak - pihak berkenaan memerah akal fikiran berkaitan banyaknya kekurangan di sini kerana mereka sendiri tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu akan semua kekurangan itu. Bagi mereka semua itu tidak perlu kerana di desa yang permai di sana, mereka telah memiliki semuanya. Hanya keajaiban anugerah Tuhan diharap mampu menyemai benih kesedaran di dalam diri mereka seadanya.
Memasuki alam remaja di desa yang terpencil itu tidak menuntut banyak perubahan dan pengorbanan di dalam diri mereka. Bagi Natasha dan juga rakan - rakannya yang lain, mereka hanya perlu melalui semua itu sebagai satu kitaran hidup mereka. Natasha hanya bernasib baik kerana dia di antara anak - anak pendalaman yang meneruskan pelajaran ke sekolah menengah di bandar yang terletak jauh dari kampung. Peluang yang diberikan oleh orang tuanya tidak banyak merubah cara hidup dia sebagai seorang anak desa. Terpisah dengan keluarga di samping menjalani kehidupan yang jauh berbeza dengan kehidupan desa banyak memberi cabaran kepada kepada dia. Banyak yang dia pelajari di sini sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui kehidupan harian dan juga dari masyarakat sekelilingnya. Sudah lali dengan hidup di desa yang menuntut dia berdikari sepanjang masa banyak membantu dia menjalani kehidupan yang baru itu.
Natasha sesungguhnya dicucuri rahmat dari Tuhan yang berkuasa. Di sebalik kemelut hidup anak desa, dia ditunjukkan jalan cerah yang dia sendiri tidak pernah fikirkan sebelum ini. Mendapat peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bukanlah satu pilihan yang senang dan baik bagi seorang anak gadis desa. Jalan cerah tetapi berliku itu menuntut pengorbanan seluruh isi keluarga yang dia sendiri tidak terfikir dan terbayang ketika mengambil keputusan tersebut. Pengorbanan itu kian mematangkan Natasha dalam meneruskan perjalanan yang dia telah pilih sendiri. Natasha kian terperangkap dari hari ke hari di antara tuntutan kehidupan adat resam di desa yang telah sekian lama dia dan masyarakatnya jalani dan juga tuntutan kehidupan zaman ini. Kesedaran dan kekuatan dalam dirinya menuntut dia menjadi untuk lebih kuat dan bijak sekiranya dia ingin segalanya berjalan seiring. Dari hari ke hari dia perlu melalui segalanya seorang diri. Dia mulai sedar betapa perlunya seseorang yang memahami apa yang berlaku untuk bersama ataupun menyokong dia agar menjadi lebih kuat dan tidak terkeluar dari landasan itu.
Natasha tidak punya apa yang mampu dia banggakan, tetapi Natasha punya satu cerita yang mampu membawa kita memikirkan dan menilai semula erti sebuah kehidupan dari kaca mata setiap kita.

bj

Thursday, July 15, 2010

apa macam jadi ini macam

salam 1 Malaysia semua...
bagaimana dengan hari dan minggu anda semua?
hari ini ada dua perkara yang hendak saya kongsikan dan beritahu semua.
Yang pertama...mulai minggu ini, setiap minggu akan ada episod, yakni paparan Bab - bab novel hasil nukilan saya sendiri untuk tatapan kita semua.
Diharapkan semua akan menyokong saya sehingga akhirnya.
Yang kedua...ini ada cerita babak Nasib Doremi dari cerita Tan Sri P. Ramlee yang benar - benar berlaku di depan mata saya dan juga rakan seperjuangan yang lainnya. begini ceritanya...
saya bersa rakan yang lain baru saja ingin menikmati sarapan nasi goreng di satu warung milik bumiputera juga adanya. Pekerja - pekerja di situ juga terdiri daripada anak - anak bumiputera kita yang baru cuba belajar berdikari. Banyak juga pelanggan lain yang berada di situ. Nak dijadikan cerita, adalah dua orang pakcik bumiputera yang duduk di belakang kami,yang sudah habis makan sarapan mereka nampaknya sedang leka berbual. Menunggu untuk membayar bil sarapan mereka agaknya. Sedang kami semua leka menikmati sarapan, tiba - tiba mereka menengking pembancuh air minuman yang datang untuk minta bil air minuman dijelaskan.
"Ini kopi apa pahit benar?. Cuba kau yang minum air kopi ini. Rasa sendiri kopi yang kau buat!." bentak mereka kasar. Si pembancuh air nampak terkejut dan teramatlah malu. Sebagai orang yang berlagak profesional, kami hanya memandang dari hujung mata saja.
"Ni mana tauke. Aku nak komplen pekerja dia ni!." Agak kasar juga soalan itu ditanyakan kepada makcik tukang masak yang datang minta bil makanan pula untuk dijelaskan. Dia hanya berlalu membawa pinggan dan duit bil ke kaunter bayaran tanpa menjawab soalan kategori kurang ajar itu.
Masa itu kami semua memandang ke arah pakcik - pakcik tersebut untuk memastikan tiada apa yang tidak diingini berlaku. Almaklumlah kami antara pelanggan tetap di situ. Setelah sedar yang mereka berjaya menarik perhatian kami, mereka sama - sama berjalan keluar dan buat - buat bodoh apabila pembancuh air meminta mereka menjelaskan bil minuman.
"Kenapalah nak buat babak cerita P. Ramlee pulak di pagi hari. Bukan banyak mana pun bil tu." komen rakan di depan saya.
"Biasalah bila bumiputera jumpa peniaga bumiputera. Bukan nak membantu, nak menjahanamkan adalah. Nanti kata, dengan bangsa sendiri pun nak berkira." tambah saya pula.
Sedang kami baru ingin terus menikmati sarapan pagi yang sedikit tergendala, kedengaran pula si pembancuh air memarahi pekerja - pekerja yang lain. Inilah dunia peniaga kecil - kecilan orang kita, samaada dipersalahkan atau pun menyalahkan yang lain.

Sesungguhnya amat mudah untuk kita menuding jari kepada mereka yang lain, tetapi kita jangan lupa pangkalnya di mana


bj

Tuesday, July 13, 2010

sama kita renungkan

kabare semua...
didoakan awal minggu anda berjalan lancar kerana suatu awalan itu amat penting untuk kita merencana dan membuat persiapan untuk menjalani kehidupan seminggu ini...
sesungguhnya mereka yang gagal adalah mereka yang gagal untuk merancang kerana tanpa perancangan tidak akan ada perlaksanaan, dan semestinya tanpa perlaksanaan maka tidak akan datanglah suatu kejayaan itu...

sesunguhnya rugilah mereka yang masih sama seperti semalam, alangkah teruknya mereka yang teruk daripada semalam, dan berberkatlah untuk mereka mereka yang belajar dari segala apa yang berlalu semalam.

bj