Saturday, July 17, 2010

warkah dari desa...prolog


salam hujung minggu semua...
hujung minggu ini berlalu seperti biasa bagi saya sendiri.
Ya...tidak lebih dari hari yang digunakan untuk berehat sepenuhnya walaupun saya ada bercadang untuk turun ke pejabat pada awalnya.
Bagaimana dengan anda semua? Semoga anda dapat menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang lebih bermakna gitu.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setiap minggu saya akan memaparkan episod atau bab - bab dari novel yang saya tulis sendiri sepenuhnya. Untuk pengetahuan anda semua, novel ini masih dalam pembikinan dan bermaksud anda semua adalah pembaca pertama novel ini secara langsung bersama saya. Novel ini bertemakan kehidupan bermasyarakat di negara kita yang sedang bangga dengan laungan 1 MALAYSIA. Selamat membaca WARKAH DARI DESA...

PROLOG...
Natasha bukanlah satu nama besar ataupun ikon di negara ini yang mampu menarik mana - mana media massa untuk memaparkan kisah hidup dia untuk tatapan umum sama ada untuk dijadikan tauladan semata - mata atau pun untuk publisiti yang mampu menaikkan graf jualan mereka. Natasha bukanlah nama seorang bintang yang kemunculannya dinanti - nantikan oleh semua orang terutamanya peminat - peminat setia dan fanatik untuk menghiburkan hari - hari mereka. Natasha juga bukannya nama seorang pemimpin masyarakat samaada di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang boleh dijadikan tajuk perbualan oleh rakan - rakan sembang di warung - warung kopi seadanya. Natasha hanya punya satu kisah indah yang dikongsikan dengan seseorang yang dia amat percayai. Kisah hidup dia yang terpahat indah serta kukuh di dalam jiwa dan raganya sepanjang masa sehingga ke akhir hayatnya.
Suatu ketika dulu Natasha melalui kehidupan yang boleh dikategorikan sukar. Membesar di sebuah perkampungan kecil orang Iban yang terletak di pendalaman Sarawak, sudah cukup untuk menggambarkan masa depan yang bakal dia lalui. Menjalani kehidupan seorang kanak - kanak desa bukanlah sukar bagi dia dan juga mereka - mereka yang lainnya, tetapi tidak pada hakikatnya. Menjalani kehidupan harian dengan persekitaran yang terhad tidak kira dari segi kemodenan infrastuktur mahupun pemikiran penduduk setempat, menyebabkan dia tidak banyak memikirkan apa yang berlaku dan mampu mereka lakukan di luar sana seperti juga rakan - rakan seangkatannya yang lain. Norma kehidupan harian yang diwarisi sejak turun temurun mereka jalani dengan penuh cekal tanpa pernah mempersoalkannya meskipun sekali. Mereka puas dengan apa yang mereka miliki dan juga bakal lalui. Sesungguhnya mereka menjadikan pengalaman hidup itu sebagai guru yang sentiasa membimbing mereka sebaiknya.
Menjejakkan kaki ke alam persekolahan hanyalah satu rutin bagi Natasha dan juga anak - anak desa yang lain. Mereka tidak menaruhkan banyak harapan di sini. Mereka hanya datang dan akan pergi apabila mereka telah jemu berada di sini ataupun apabila kehidupan desa memanggil mereka untuk meneruskan warisan kehidupan mereka. Belajar di sekolah yang terletak di pendalaman dan serba kekurangan itu tidak banyak mampu menyemaikan benih kesedaran di dalam diri mereka agar bersiap untuk melakukan perubahan si dalam diri mereka mahupun masyarakat. Mereka tidak banyak membangkitkan persoalan yang menuntut pihak - pihak berkenaan memerah akal fikiran berkaitan banyaknya kekurangan di sini kerana mereka sendiri tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu akan semua kekurangan itu. Bagi mereka semua itu tidak perlu kerana di desa yang permai di sana, mereka telah memiliki semuanya. Hanya keajaiban anugerah Tuhan diharap mampu menyemai benih kesedaran di dalam diri mereka seadanya.
Memasuki alam remaja di desa yang terpencil itu tidak menuntut banyak perubahan dan pengorbanan di dalam diri mereka. Bagi Natasha dan juga rakan - rakannya yang lain, mereka hanya perlu melalui semua itu sebagai satu kitaran hidup mereka. Natasha hanya bernasib baik kerana dia di antara anak - anak pendalaman yang meneruskan pelajaran ke sekolah menengah di bandar yang terletak jauh dari kampung. Peluang yang diberikan oleh orang tuanya tidak banyak merubah cara hidup dia sebagai seorang anak desa. Terpisah dengan keluarga di samping menjalani kehidupan yang jauh berbeza dengan kehidupan desa banyak memberi cabaran kepada kepada dia. Banyak yang dia pelajari di sini sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui kehidupan harian dan juga dari masyarakat sekelilingnya. Sudah lali dengan hidup di desa yang menuntut dia berdikari sepanjang masa banyak membantu dia menjalani kehidupan yang baru itu.
Natasha sesungguhnya dicucuri rahmat dari Tuhan yang berkuasa. Di sebalik kemelut hidup anak desa, dia ditunjukkan jalan cerah yang dia sendiri tidak pernah fikirkan sebelum ini. Mendapat peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bukanlah satu pilihan yang senang dan baik bagi seorang anak gadis desa. Jalan cerah tetapi berliku itu menuntut pengorbanan seluruh isi keluarga yang dia sendiri tidak terfikir dan terbayang ketika mengambil keputusan tersebut. Pengorbanan itu kian mematangkan Natasha dalam meneruskan perjalanan yang dia telah pilih sendiri. Natasha kian terperangkap dari hari ke hari di antara tuntutan kehidupan adat resam di desa yang telah sekian lama dia dan masyarakatnya jalani dan juga tuntutan kehidupan zaman ini. Kesedaran dan kekuatan dalam dirinya menuntut dia menjadi untuk lebih kuat dan bijak sekiranya dia ingin segalanya berjalan seiring. Dari hari ke hari dia perlu melalui segalanya seorang diri. Dia mulai sedar betapa perlunya seseorang yang memahami apa yang berlaku untuk bersama ataupun menyokong dia agar menjadi lebih kuat dan tidak terkeluar dari landasan itu.
Natasha tidak punya apa yang mampu dia banggakan, tetapi Natasha punya satu cerita yang mampu membawa kita memikirkan dan menilai semula erti sebuah kehidupan dari kaca mata setiap kita.

bj

No comments:

Post a Comment